Selasa, 20 Disember 2016

PhD #15 : Perkhidmatan Percetakan di University of Liverpool


Hari ini saya ingin berkongsi cerita tentang kemudahan yang disediakan di Universiti of Liverpool. Iaitu perkhidmatan percetakan. Ini adalah antara servis yang sering saya gunakan sejak dari tahun pertama PhD.


Kebiasaannya sebelum menghadiri mesyuarat dengan penyelia saya akan mencetak dahulu dokumen yang akan saya bawa untuk perbincangan. Sehari sebelum mesyuarat saya akan emailkan salinan dokumen kepada penyelia saya untuk semakan dan persediaan untuk mesyuarat. Agar penyelia saya juga turut sama bersedia dengan input yang terkini untuk diperbincangkan kelak.


Kemudian saya akan hantar dokumen secara dalam talian untuk dicetak. Ia boleh dibuat secara terus dari aplikasi program di komputer ataupun secara email kepada pelayan pencetak (printer server). Jadi kita bebas untuk mengambil dokumen yang dicetak dimana-mana lokasi pencetak yang kita mahu.


Perpustakaan Harold Cohen


Biasanya saya akan mengambil hasil dokumen yang dicetak di pencetak pejabat saya di tingkat 5 ataupun di perpustakaan Harold Cohen. Turun sahaja dari bas saya akan terus ke perpustakaan yang terletak hanya beberapa meter dari perhentian bas sebelum saya masuk ke pejabat. Mudah bukan?


Lokasi servis

Saya hanya perlu sentuh kad matriks dan senarai dokumen yang saya telah hantar sebelum itu akan dipaparkan. 

Paparan senarai dokumen yang hendak dicetak

Kemudian pilih dokumen yang saya mahu cetak dan sahkan. Sekelip mata dokumen siap dicetak.

Hasil dokumen yang telah dicetak


Saya tak perlu lagi buka komputer. Pesanan yang dibuat terus ke pelayan pencetak yang boleh diakses dimana sahaja sangat memudahkan urusan dan menjimatkan masa.


Mahal ke perkhidmatan percetakan ini?? Boleh rujuk gambar tertera. 


Senarai harga cetakan

Oh ya. Tentang kaedah bayaran, ia menggunakan kaedah seperti pra-bayar. Tapi bagi kami pelajar PhD tak perlu tambah nilai dalam kad tersebut. Boleh cetak tanpa had. Best kan??


Mesin untuk tambah kredit


Kita juga boleh cetak pelbagai jenis saiz seperti A4, A3 dan juga poster. Pilihan samada kualiti berwarna dan hitam putih. Tapi harga tentulah berbeza mengikut kualiti cetakan.


Khidmat 'binding' layan diri juga disediakan


Bila dapat servis terbaik sebegini kita patut bersyukur kan? Ia banyak memudahkan perjalanan PhD saya dan membuatkan saya sangat gembira. Ini pun juga satu nikmat. 


Alhamdulillah.

.


Wallahua'lam. 
Hanya Allah yang lebih mengetahui segala-galaNya.


Menghargai teknologi dan servis yang efisien
Harold Cohen Library, University of Liverpool.
20.12.2016

Khamis, 8 Disember 2016

PhD #14 : TEMPLATE THESIS


Tempoh hari Dr. Mohd Zuli Jaafar ada mengirimkan template tesis kepada saya. Selama ini saya selalu mengikuti kelas secara online di Group beliau. Saya belum sempat lagi mengikut kelas bimbingan secara intensif dari beliau. Tapi itu pun sudah banyak membantu dan mempermudahkan perjalanan PhD saya.

Alhamdulillah.

Hari ini saya mula menggunakan template tersebut. Sebelum ini saya tidak menggunakan template khas sebaliknya membuat template sendiri hasil eksperimen selepas mengikuti kelas ZDOT Dr. Othman Talib sejak tahun 2014.

Malah proposal yang saya sediakan ketika mula membuat permohonan HLP juga saya gunakan kaedah ZDOT. Hingga la sekarang. Walaupun sudah bertukar banyak kali dan ada beberapa versi.
Hari ini dengan template tesis yang Dr. Zuli berikan, saya sudah dapat gambaran awal tesis penuh yang akan saya hantar kelak. Seronok bila dah ada tesis penuh ini. Rasa perjalanan PhD ini hampir menuju ke garisan penamat. Walaupun sebenarnya banyak lagi yang belum saya selesaikan.


Template tesis saya


Muat turun template tesis di SINI


Alhamdulillah. Sekurang-kurangnya saya ada progres dan kemajuan. Itulah motivasi buat diri saya sendiri. Dengan meraikan kejayaan -kejayaan kecil kita akan lebih mensyukuri apa yang telahkita capai dan miliki. Semuanya dengan izin Allah. Insyaallah. Orang yang berusaha pasti akan berjaya dan diberkati Illahi.


Doakan saya dan sahabat seperjuangan saya yang sedang menyiapkan penulisan tesis kami ini dilapangkan fikiran, diberikan ilham dan kebijaksanaan serta dipermudahkan segala urusan. Doakan yang baik-baik ye 😊.


Semoga Allah merahmati kita semua hingga ke syurga. Insyaallah.

Wallahua'lam.
Hanya Allah yang lebih mengetahui segala-galaNya.


Safinatunnajah Ahmadi
Menulis tesis cepat dan mudah
University of Liverpool
08.12.2016



Isnin, 5 Disember 2016

PhD #13 : MEMINANG PROOFREADER


Teringat pula cerita sahabat saya Dr.Ferro Esma. Tentang pahit manis berurusan dengan proofreader. PhD adalah satu proses yang panjang dan menuntut komitmen dan pengorbanan.
Dalam meniti perjalanan PhD, bagi saya yang agak lemah dalam penulisan akademik ni, saya memang amat perlukan khidmat proofreader. Bukan mudah menghasilkan penulisan akademik yang berkualiti dan berimpak tinggi. Ia memerlukan banyak latihan dan penambahbaikan dari semasa ke semasa.


sumber : google

Antara cerita yang pernah saya dengar berkaitan proofreader adalah seperti ini. Ada proofread yang kenakan bayaran murah tapi kurang berkualiti. Ada yang mahal tapi pun kurang berkualiti. Kawan kami ada yang dikenakan bayaran RM 6k untuk khidmat ini. Tapi hasilnya.. Aduhai.


Baru-baru ini kawan saya Husna ada kongsi cerita. Proofreader kenakan bayaran mengikut jam. Selama ini saya hanya pernah dengar kadar bayaran ikut bilangan perkataan atau muka surat. Tapi khidmatnya memang sangat bagus, kata kawan saya ini.

Macam mana nak memilih proofreader?? Kita perlu buat kajian sebelum 'meminang' proofreader. Macam nak kahwin pulak? Iyelah, bukan boleh main tangkap muat. Nilai 'hantaran' proofreader pun mahal juga tau. Tapi berbeza dengan berkahwin, dengan proofreader kita boleh minta sampel dahulu.


Untuk lebih informasi apa kata kalian follow Dr Muhammad Zaki Ramli. Beliau banyak berkongsi tentang isu ini.

Selamat menulis tesis buat semua sahabat seperjuangan saya.

Mohon doakan kami yang sedang berjuang demi segulung ijazah PhD ini ye.



Wallahua'lam.
Hanya Allah yang lebih mengetahui segala-galaNya.



Safinatunnajah Ahmadi
Masih terkial-kial menulis tesis
University of Liverpool, UK.




Jumaat, 25 November 2016

Fenomena Black Friday





Hari ini 25 November 2016 adalah Black Friday. Apa itu Black Friday ?


"Black Friday is the day after Thanksgiving Day and the Friday before Cyber Monday in the United States. It is a busy shopping day and is a holiday in some states. Black Friday, which is the day after Thanksgiving Day, is a busy shopping day." - Google


Black Friday pada asalnya adalah tradisi Amerika, jatuh pada hari selepas Kesyukuran setiap tahun. Black Friday juga telah melanda United Kingdom dan mungkin juga negara-negara lain.


http://www.blackfridaydealsonline.co.uk/

Sebelum sampai ke UK saya hanya tahu tentang "Boxing Day". Rupanya ada banyak lagi temasya membeli belah di sini. Pokok pangkalnya, sediakan sahaja 'wishlist' dan bajetnya sekali.

Keadaan ekonomi pun tak berapa baik sekarang. Jadi sebaik-baiknya kita rancang perbelanjaan dan kedudukan kewangan kita. Boleh sahaja nak membeli belah, tetapi dahulukan keperluan berbanding kehendak.

Jika kita memang berimpian untuk membeli produk idaman yang agak mahal dan bukan bersifat keperluan, kita boleh mendapatkannya sewaktu jualan murah dengan menggunakan duit tabungan kita. Ikut seperti saranan yang pernah saya kongsikan tentang tabung si hijau, si oren atau si ungu.

Kami di sini menggunakan kesempatan waktu jualan murah ini untuk melengkapkan keperluan bayi yang bakal lahir Januari nanti. Alhamdulillah. Memang berbaloi membeli semasa jualan murah. Dapat diskaun, produk percuma, malah ada diberikan vouncher tunai.


Alhamdulillah.

Syukur atas segala anugerah dan nikmat yang Allah berikan.


Safinatunnajah Ahmadi
Membeli dengan bijak
Liverpool, UK.



Selasa, 22 November 2016

Nota Inspirasi #56 : Menzahirkan Kebaikan




Sedarkah kita?? Bahawa semua orang sebenarnya baik dan sukakan kebaikan. Namun, sedihnya tidak ramai yang pandai menzahirkan kebaikannya.

.
Pasangan suami isteri saling mencintai antara satu sama-lain tetapi tidak pandai menzahirkan cintanya. Sekian lama berumah tangga, tetapi sudah lama tidak meluahkan rasa kasih dan cinta. Seolah-olah cinta mereka tersimpan kemas di sudut hati yang paling dalam dan kelam.

Seorang ibu sangat menyayangi anaknya tetapi lebih banyak memarahi anak kerana tertekan dek bebanan dan kesibukan tugas harian. Sedangkan saat anak itu di dalam kandungan setiap hari si ibu meluahkan rasa kasih pada anak yang dikandung dan berdoa agar anaknya menjadi anak yang soleh.

Kita mengharapkan seribu kebaikan datang kepada kita. Tetapi kita lupa untuk berbuat baik kepada insan yang telah berkorban segalanya demi kita iaitu kedua ibu-bapa kita. Doa tulus merekalah yang memberi kebahagiaan buat kita selama ini.

.
Dunia ini telah banyak membuatkan kita terlupa dan terleka. Saat kita berjuang demi meneruskan kelangsungan hidup, kita telah mengabaikan apa yang ada di depan mata kita. Kita sibuk mengejar kebahagiaan, sedangakan kebahagiaan itu sudah ada dalam gengaman.

Astagfirullah.

.

Mari kita bersama-sama menzahirkan kebaikan dan berbuat baik kepada pasangan kita dengan selalu memberi khidmat. Mulakan dengan yang paling kecil dan mudah. Kita tunjukkan contoh yang terbaik dalam keluarga kita. Insya Allah, anak-anak akan ikut sama melakukan kebaikan.

Apabila kita semua menzahirkan kebaikan, maka dunia kita akan penuh dengan kebaikan dan kebahagiaan. Insya Allah.

.
Dan andainya kalian rasa entri ini mempunyai mesej kebaikan, mohon kongsikan dan sebarkan demi kebaikan berpanjangan. Semoga kita sama-sama dapat manfaat dan mendapat amal jariah yang berpanjangan sampai ke syurga.

Insya Allah.

Allah sangat sayang pada kita semua.


Wallahua'lam.


Safinatunnajah Ahmadi


Belajar menjadi lebih baik dan menyebarkan kebaikan.
Liverpool, UK.
22.11.2016

p/s : menzahirkan kebaikan bukan riak.

Khamis, 10 November 2016

PhD #12 : Terus Melangkah




Seawal jam 3 pagi saya sudah terjaga. Ikutkan rasa hati mahu terus lena menyambung mimpi. Tetapi hati kecil bermonolog sendiri. Masih banyak perlu saya sediakan sebelum mesyuarat bersama penyelia hari ini.

Usai solat tahajud, dalam sendu sempat saya menulis bait kata sebuah puisi - DALAM TAHAJUD CINTA. Itulah nukilan rasa di keheningan pagi. Dari jiwa yang merintih mengharapkan kasih dan ihsan Illahi.

Sungguh. Masih terlalu jauh destinasi PhD ini. Masih banyak yang perlu saya lalui. Jika dibandingkan dengan sahabat seperjuangan yang lain, saya jauh ketinggalan. Namun, tak pantas kita membandingkan nasib kita dengan orang lain. Seolah menyesali takdir Tuhan
Yang Maha Berkuasa mengurus tadbir takdir hambaNya.

Saya cuba usahakan untuk menyediakan dokumen yang sepatutnya. Menyudahkan apa yang termampu sebaiknya. Tepat jam 10.15 bergegas bersiap, untuk mengejar bas No. 76 yang dijadualkan tiba jam 10.26.

Sampai di perhentian bas, jam di tangan menunjukkan jam 10.27 pagi. Bas mungkin sudah terlepas agaknya. Tapi pasrah sahaja. Mesyuarat dengan penyelia telah saya ditetapkan pada jam 11.00 pagi. Hati gundah juga, bimbang terlewat.

Jam 10.32 pagi, bas No. 76 tiba di perhentian bas Ritson Street. Hebatnya Allah mengaturkan waktu, bas lewat tiba seolah menantikan saya. Alhamdulillah.

Turun dari bas sempat saya rakam foto ini. Buat bingkisan memori hari ini. Selepas itu sempat lagi ke Harold Cohen Library untuk mencetak dokumen yang akan dijadikan agenda mesyuarat nanti.

Alhamdulillah.. Semua seolah diatur oleh Allah dengan sangat rapi. Saya tiba di pejabat jam 10.51 pagi. Sempat melepaskan hela dan menenangkan diri sebelum bertemu penyelia.

Penyelia saya pun sudah bersedia. Saya lihat pintu pejabatnya sudah terbuka. Seolah-olah sedang menanti kehadiran saya. Saya masuk dahulu ke pejabat saya. Meletakkan beg dan mengambil buku catatan. Sempat lagi menulis nota ringkas untuk perbincangan dalam mesyuarat nanti.

Tepat jam 11.00 pagi, saya ketuk pintu pejabat penyelia. Sesudah bertegur sapa dan bertanya khabar, mesyuarat berjalan seperti biasa.

Alhamdulillah. Syukur ke hadrat Illahi. Mesyuarat bersama penyelia hari ini berjalan dengan sangat lancar. Betapa rapinya perancangan dan pengurusan oleh Allah SWT. 
.

Di akhir pertemuan tadi apabila penyelia berkata begini

"I am happy today. You are making good progress... "

Panjang lagi ayat yang diucapkan oleh penyelia. Saya tak ingat semuanya. Bila melihat senyuman yang terukir di wajah penyelia saya hari ini, itu sudah cukup buat saya rasa gembira. Hati berasa sangat lapang dan tenang. Walaupun saya sendiri tahu progres saya tak sebagus mana.

Tapi saya sangat percaya. Allah sentiasa ada bersama. Allah sangat teliti menjaga dan mengurus tadbir seluruh alam semesta. Semuanya berada di dalam genggamannya. Tiada apa yang perlu kita gusarkan. Apabila kita serahkan seluruh jiwa dan raga untuk mengabdikan diri hanya pada Dia.


Terus melangkah. 
Semua yang baik-baik telah Allah sediakan buat kita.


Insyaallah.


Alhamdulillah. Allahuakbar.





Yang memilih ALLAH sebagai penyelia utama

Liverpool, UK.

10.11.2016

Selasa, 8 November 2016

PhD #11 : KAJIAN KUALITATIF - TEMUDUGA


Saya mahu berkongsi hasil carian maklumat berkenaan kajian kualitatif menggunakan kaedah temuduga. Beberapa rakan PhD ada memberitahu saya bahawa mereka menggunakan kaedah kualitatif dalam kajian mereka. Ramai juga yang menggunakan kaedah kuantitatif iaitu survey.

Saya pula memilih kaedah mix-method. Gabungan kedua-dua kaedah kualitatif dan kuantitatif. Kaedah ini agak baru dan tidak ramai yang memilih bentuk kajian seperti ini.

Panduan membangunkan soalan temuduga


Tetapi ketika saya berkursus di University of Cambridge pada tahun lepas, saya dapati ada beberapa lagi kaedah yang penyelidik di sana telah gunakan.


Pembentangan 



Melopong juga la saya dibuatnya kerana masih terlalu banyak yang saya tidak tahu dan perlu belajar. Inilah keseronokan yang saya temui dalam perjalanan PhD saya. Apabila dapat belajar sesuatu yang baharu, kita akan rasa bahagia. Alhamdulillah.




Sebelum ini saya sudah draf soalan-soalan yang akan saya gunakan semasa temuduga nanti. Tetapi saya perlu kemaskini lagi kerana terdapat beberapa perubahan apabila telah bertukar penyelia. 


.


Tak mengapa la kan. Perubahan untuk kebaikan dan penambahbaikan. Yang penting teruskan gandakan usaha dan berdoa agar perjalanan PhD ini dipermudahkan Allah SWT.

Bersama rakan-rakan PhD di University of Cambridge

Insya Allah.

Wallahua'lam.
Hanya Allah yang lebih mengetahui segala-galanya.



Bakal penemuduga
Liverpool, UK.


Sumber rujukan saya perolehi dari link ini :


Isnin, 7 November 2016

Nota Inspirasi #55 : Relaks Semasa Peperiksaan



Hari ini adik-adik mula menduduki SPM 2016. Akak cuma nak pesan agar adik-adik semua relaks je hari ni. Apa nak dirisaukan. ia hanya satu lagi ujian bernama peperiksaan.

SPM sangat penting. Tapi jangan sampai adik-adik terlalu risau sampai tak lalu nak makan. Tidur tak lena. Mandi tak basah. Relaks. Tenang saja. Banyak berdoa pada Allah SWT.

Ooh.. Akak masih ingat lagi tau. Masa tahun 1997 akak pun menduduki peperiksaan SPM. Macam adik-adik juga. Akak rasa akaklah calon SPM paling relaks pada hari peperiksaan tu.


Kelas 5 (1) - Gambar bersama guru dan kawan-kawan (1997)

Akak bangun pagi awal tau. Jam 4 pagi akak dah bangun. Dah tidur pun awal kan. Lepas mandi ambil wudhuk, akak solat sunat. Buatlah solat hajat mohon pada Allah agar dilapangkan hati dan ditajamkan akal untuk menjawab dengan tenang nanti.

Lepas solat subuh akak ambil nota ringkas yang akak dah buat. Selak sikit dan baca mana yang patut. Lepas bersiap pergi turun ke dewan makan untuk sarapan.

Masa sarapan pun borak macam biasa dengan kawan-kawan akak. Pastu orang lain sibuk dah bergerak ke dewan peperiksaan. Akak masih relaks lagi. Boleh pulak akak duduk dekat dengan meja pingpong. Siap ajak kawan main pingpong kejap sebelum masuk dewan.

Kawan-kawan dah mula berjalan ke dewan peperiksaan. Akak pejam mata duk berangan. Bayangkan diri akak dah masuk dewan peperiksaan. Bayangkan dah duduk di kerusi dan buka kertas soalan.

Akak nampak soalan-soalan di kertas peperiksaan. Akak selak tiap helai kertas soalan. Ok. Dah dapat soalan bocor. Akak senyum gembira. Akak dapat menjawab dengan tenang. Pastu akak hantar kertas jawapan.

Ceh.. Berangan rupanya...

Akak pun buka balik la nota poket akak. Baca balik nota tu. Hafal jawapan untuk soalan yang akak nampak di kertas soalan tadi. Lepas tu tengok kiri kanan semua orang dah tak ada. Akak orang terakhir yang masih berada di asrama.

..Relaks..

Akak berjalan ke dewan peperiksaan yang tak berapa jauh dari asrama. Masa itu orang lain dah mula menjawab soalan dah. Cikgu yang menjaga peperiksaan tu hairan tengok akak jalan berlenggang. Akak senyum sahaja.

Dalam hati baca ayat kursi, surah insyirah, 3 Qul dan doa yang akak dah hafal.

Masuk dewan peperiksaan, beri salam pada pengawas peperiksaan. Minta maaf sebab masuk lambat sambil senyum simpul. Kawan-kawan pandang akak dengan muka kelat.

Aik..kenapa. Susah sangat ke soalan tu? Sampai muka terkulat-kulat. Akak pun cari tempat duduk akak. Duduk dengan tenang.

Baca bismillah. Buka kertas soalan. Wah. Soalan dalam tu sama macam apa yang akak bayangkan tadi. Senang hati akak.

Akak pun jawab dengan tenang. Dah siap jawab semua soalan, akak semak semula jawapan. Lepas tu angkat tangan. Pengawas peperiksaan datang ke meja akak.

"Awak nak kertas tambahan ke?" 
"Tak cikgu. Saya nak hantar kertas jawapan."
"Aik, dah jawab semua ke?"
"Sudah cikgu"
"Tadi kan awak masuk lambat. Cepat je jawab."
"Alhamdulillah. Saya dah siap jawab semua cikgu."

Akak senyum je pada cikgu sambil hulur kertas jawapan. Lepas tu akak bangun perlahan-lahan dan bergerak keluar dari dewan. Kawan-kawan semua pandang akak lagi dengan wajah kehairanan.

Akak lihat macam-macam reaksi dan ekspresi muka mereka. Ada yang muka sudah berada di atas meja. Ada yang pandang kiri kanan dan belakang. Ada yang muka kelat. Tapi ramai juga yang tunduk tak toleh kiri kanan. Tekun menjawab soalan.

.

Lepas balik ke asrama akak terus ke dewan makan. Makanan dah siap. Akak makan dulu la. Lapar kot lepas perah otak tadi??

Lepas makan masuk ke bilik berehat. Dapat lelapkan mata sebentar. Terjaga sebab riuh rendah. Bising. Kawan-kawan sebilik dah balik.

Mereka sibuk la bertanya khabar antara satu sama lain dan berbincang tentang jawapan masa peperiksaan tadi.

Akak malas nak ambil tahu. Apa yang dah berlalu biarkan berlalu. Kita fokus untuk yang seterusnya. Masih ada subjek lain kan. Lagipun kita dah usaha. Tawakal sahaja pada Allah SWT.

Setiap kali ada peperiksaan akak akan buat solat hajat. Selalunya selepas solat fardhu, akak akan buat solat hajat. Setiap hari semasa minggu peperiksaan begitulah rutin akak. Itulah perangai akak.

Akak rasa masa minggu peperiksaan memang akak sangat relaks. Orang lain sibuk belajar dan berbincang. Akak sibuk main pingpong. Lepas tu tidur awal. Masa orang tidur akak bangun awal. Buat solat sunat. Baca al Quran. Lepas selesai baru akak selak buku, baca nota, buat latihan menjawab soalan. Beginilah rutin akak masa minggu peperiksaan. Dari sekolah sampai masuk universiti memang itulah yang akak buat. Sudah jadi tabiat mungkin.

Betul ke akak sangat relaks? Orang meang nampak akak relaks tak buat apa. Tapi masa orang lain tidur akak berusaha keras juga. Allah sahaja yang melihat dan tahu segalanya.

Lagipun akak suka belajar masa orang lain tidur. Jadi tak ada la gangguan. Tenang dan syahdu di keheningan malam. Sambil layan lagu jiwang. Senang nak fokus dan mudah lekat di ingatan.

Adik-adik kalau nak ikut cara akak boleh juga. Lain orang lain caranya kan.

"STUDY BIAR LEPAK. RESULTS BIAR GEMPAK."


Itulah motto akak dulu. 😊




Akak doakan adik-adik #SPM2016 semua dapat menjawab dengan tenang dan sukses dengan keputusan yang cemerlang.




Insyaallah.


Catatan pengalaman sebenar.

Safinatunnajah Ahmadi
Pelajar Terbaik SPM 1997.
SAM Hisamuddin Sg. Bertih, Klang.

Jumaat, 4 November 2016

Monolog #55 : Dia..Anugerah Terindah




Dia..Anugerah Terindah


Dia..
Anugerah terindah
Kurniaan Allah

Dia..
Ibarat kain putih
Amanah buat insan terpilih

Dia..
Lahirnya dengan tangisan 
Membawa kebahagiaan

Dia..
Dinanti sekian lama
Dalam doa sentiasa dipinta

Dia..
Diharap menjadi harta berharga 
Berpanjangan hingga ke syurga

Dia..
Anak soleh dambaan jiwa
Penyejuk mata pengubat lara


.
Liverpool, UK 
04.11.2016

PhD #10 : Research Ethic



Ramai di kalangan rakan-rakan seperjuangan saya yang telah membuat kutipan data. Jika diikutkan perancangan awal, seharusnya di tahun pertama lagi saya sudah mula membuat kutipan data semasa pulang ke Malaysia pada Julai 2015.

Kita merancang, tetapi semuanya dalam gengaman Allah SWT. HanyaAllah yang lebih mengetahui jalan mana yang terbaik untuk kita. Kita wajar berusaha dengan gigih dan fokus dengan matlamat kita. Tetapi, setelah berusaha jangan lupa untuk berdoa dan bertawakkal kepada Allah SWT.

Research ethic ini wajib saya perolehi sebelum memulakan kutipan data. Pada tahun 2015, saya telah mula mengisi borang permohonan. Ketika itu permohonan masih menggunakan borang biasa. Tetapi kerana beberapa faktor yang bukan dalam kawalan saya, maka borang itu terkubur lama.

Kini, di tahun 2016 sudah atas sistem permohonan atas talian. Ia lebih cepat dan memudahkan urusan. Selaku pemilik projek saya perlu melengkapkan permohonan dan mendapatkan pengesahan daripada penyelia.


Permohonan secara online


Alhamdulillah. Setelah bertukar penyelia, perjalanan PhD ini nampak lebih lancar. Saya pun lebih bersemangat kerana perjuangan PhD saya bukan lagi " a lonely journey". Sekarang saya ada peneman setia yang menemani perjalanan ini.

Mudah-mudahan nanti anak kami juga akan mengikuti jejak langkah saya bila dia dewasa nanti. Terus menimba ilmu hingga ke peringkat tertinggi. Insya Allah.

Semoga Allah mempermudahkan segala urusan kita semua. Insya Allah.

Wallahua'lam
Hanya Allah yang lebih mengetahui segala-galanya.



Berserah semuanya pada Allah SWT.
University of Liverpool.
04.11.2016

Ahad, 16 Oktober 2016

Nota Inspirasi #54 :Musim Luruh Yang Mendamaikan



Di antara pengalaman manis yang saya perolehi sepanjang penghijrahan di United Kingdom (UK) adalah dapat menyaksikan tanda-tanda kebesaran Allah SWT yang mencipta 4 musim ; musim luruh, musim sejuk, musim bunga dan musim panas.


Jika di Malaysia sepanjang tahun kita menikmati cahaya matahari sepanjang tahun. Di UK, terutamanya Liverpool nikmat itu bukan setiap hari dapat kami kecapi. Tetapi ia tetap satu nikmat yang tiada bandingan.


Tupai yang sedang melompat kegirangan




Ianya bukti betapa Allah SWT Maha Bijaksana dan Maha Berkuasa dalam mengatur alam sejagat. Allah berfirman di dalam Al Quran, maksudnya :


"Apakah kamu tidak memperhatikan, bahwa sesungguhnya Allah menurunkan air dari langit maka diaturnya menjadi sumber-sumber air di bumi kemudian ditumbuhkanNya dengan air itu tanaman-tanaman yang bermacam-macam warnanya, lalu ia menjadi kering lalu kamu melihatnya kekuning-kuningan, kemudian dijadikannya hancur berderai-derai. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat pelajaran bagi orang-orang yang mempunyai akal.” (Az-Zumar : 21)


Sekarang ini kami berada di musim luruh. Di sini kami meyaksikan daun-daun yang kehijauan mula bertukar warna kekuningan dan keperangan. Musim luruh ini sangat mendamaikan jiwa.

Sefton Park, Liverpool





Di musim luruh, segala dedaunan mula berinteraksi dengan alam dan mengaptasikan dirinya dengan menggugurkan daun-daunnya untuk menyambut musim sejuk datang. Daunan yang berguguran membentuk satu pemandangan yang sangat indah.




Kenangan Musim Luruh 2014


Angin bertiup yang menyapu di pipi turut menerbangkan daun-daun yang berguguran. Musim luruh memberi inpirasi tersendiri yang menenangkan jiwa. Sangat indah perasaan itu, sehingga tak mampu saya luahkan dengan perkataan. Hanya zikir dan puji-pujian kepada Tuhan Pencipta yang mampu saya ungkapkan.


Subhanallah. Alhamdulillah. Allahu Akbar.
.


“Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat pelajaran bagi orang-orang yang mempunyai akal.”

.




Wallahua'lam
Hanya Alllah yang lebih mengetahui segala-galanya.




Safinatunnajah Ahmadi
Menikmati musim luruh dengan kesyukuran
Sefton Park, Liverpool.




#throwback #autumn2014

Ahad, 17 April 2016

NOTA INSPIRASI #53 : BEG SEKOLAH BERJENAMA





Ramai kawan-kawan di Facebook kongsi post berkenaan beg mahal percuma. Siapakah agaknya yang bertuah mendapatnya secara percuma?

.

Adik saya juga turut serta. Saya? Pendirian saya, jenama bukan ukuran. Beg plastik pun saya pakai. Tak menjadi hal. Kadangkala tuan suami yang lebih teliti dan cerewet berkenaan penampilan. Mungkin kerana beliau tidak mahu 'jatuh saham' kerana membiarkan saya memakai apa sahaja yang saya suka?

.

Memang benar isteri adalah cerminan suami. Begitu juga suami adalah cermin isteri. Anak-anak adalah cermin ibu bapanya. Diri saya adalah 'produk' hasil didikan ibu bapa saya.
.

Dahulu memang kami miskin. Kami tak mampu membeli beg sekolah yang mahal. Saya masih ingat lagi. Ketika itu saya darjah 1. Ibu saya jahitkan beg sekolah untuk saya daripada kain perca.  Beg saya berwarna putih asalnya. Lama kelamaan warnanya bertukar kekuningan dan kelabu.

Beginilah rupa beg seolah yang ibu saya jahit.


.

Saya tak rasa malu. Mungkin memang saya tak kisah pun kerana tak pernah diajar tentang jenama. Asalkan boleh dipakai itu sudah cukup baik. Ibu dan ayah saya sangat kreatif. Apa sahaja yang ada di sekeliling kami boleh dijadikan produk berguna. Mungkin dari situ terbit minat saya menghasilkan inovasi. Sehingga kini.

.

Masih saya ingat, beg sekolah pertama yang ayah beli berwarna biru. Sangat cantik. Saya pakai sehingga darjah 5. Itulah hadiah kerana saya dapat No. 3 dalam peperiksaan. Saya sangat sayang beg itu.

.

Kini, bila sudah punya wang sendiri saya 'reward' diri dengan membeli apa yang saya impikan. Masih saya ingat reaksi ibu saya bila saya membawa pulang beg kertas 'hasil tangkapan' di kompleks membeli belah. Saya memang suka membeli beg tangan. Harganya tidak terlalu mahal. Kerana saya beli ketika ada diskaun 70%.

.

Panjang bebelan ibu saya.
"Buat apalah beli hand bag mahal-mahal."
"Kalau simpan duit tu kan bagus, asyik shopping je."
"Beg kakak kan dah banyak, buat apa membazir"
"Beg yang ada pun kakak jarang pakai. Ini beli yang baru lagi"
.
.
.
Banyak lagi. Tak mampu tulis kesemuanya. Tapi itulah ibu saya. Seorang yang sangat berjimat cermat. Sangat sayang duit, tak mahu membazir katanya. Ibu saya tak pernah beli beg tangan. Beg tangan pertama yang dia ada pun saya yang belikan. Entah kenapa, saya suka hadiahkan beg padanya. Mungkin sebab dahulu, ibu saya bersusah payah menjahit beg sekolah saya. Beg kesukaan ibu saya yang selalu dipakai ke majlis kenduri perkahwinan tiada jenama. Beg hasil buatan Thailand yang dihasilkan daripada tempurung kelapa yang saya beli ketika bercuti di Krabi.

.

Entah kenapa beliau suka sangat beg itu. Tapi saya tidak nafikan memang beg itu unik. Kerana itu saya suka dan saya beli. Sebenarnya untuk diri saya. Tetapi kerana ibu saya suka, saya hadiahkan terus padanya.

.

Beg sekolah saya sekarang agak berjenama. Saya beli dengan harga lebih murah dari pasaran. Ianya bernilai bukan kerana jenama. Tapi kerana ciri-ciri yang ada dan kegunaannya. Ia berharga pada saya kerana nilai ilmu yang dibawa olehnya. Apa yang ada di dalam beg itu sebenarnya lebih bernilai.

.



Beg sekolah berjenama Burberry


Ya. Anak orang miskin sekarang sudah pandai memilih. Tapi saya masih seperti dahulu. Tak kisah tentang jenama. Tidak taksub pada jenama. Tidak hairan melihat orang lain memakai jenama. Kerana saya ada jenama diri saya. Yang tiada pada orang lain.
.

Oh ya, bila ibu saya memasang 'radio' bebelannya ayah akan membela saya.
"Biarlah dia nak beli apa yang dia suka."
"Dahulu masa dia kecil, kita tak mampu belikan"
"Dahulu, masa sekolah dia pakai beg kain. Dia tak merungut pun"
"Sekarang biarlah dia beli impian dia"
.
.
.

Ayah memang selalu membela saya. Orang kata saya anak kesayangan ayah. Tapi saya tidak rasa begitu. Tetapi saya rasa ayah banyak menyokong potensi saya. Walaupun, orang lain kata mustahil ayahlah orang yang akan sentiasa berikan kata-kata semangat. Ayah tak pernah jatuhkan motivasi diri saya. Bila saya utarakan hasrta untuk berniaga, ayah akan cuba bantu saya. Setidak-tidaknya, ayah akan teman saya bertemu.

.



Wallahua'lam.
Hanya Allah yang lebih mengetahui segala-galaNya.

Pemilik jenama

Sabtu, 16 April 2016

NOTA INSPIRASI #52 : SURAT BIASISWA




Hari ini seperti biasa cikgu masuk ke kelas kami. Kelas 4 (2). Kelas yang dihuni oleh 40 pelajar perempuan. Bila cikgu masuk dalam kelas, baru semua diam. Senyap. Tapi diam itu tidak lama. Perempuan. Mulutnya sukar dikunci.

.

Cikgu beri tugasan. Hari ini kami kena buat "Surat rasmi memohon biasiswa". Saya diam. Tidak gembira seperti selalu. Entah kenapa??. Saya pandang sahabat saya Shadiya Abbas. Kami berborak.

" Macam mana nak tulis surat ni" tanya saya.
" Tulis macam biasa la. Kan kita selalu buat surat rasmi dan tak rasmi." balas Shadiya. 
" Yelah, tapi apa nak kena tulis??" tanya saya lagi
" Kau cerita lah pasal latar belakang keluarga kau. Tulis kenapa nak minta biasiswa. " sambung Shadiya.

.

Saya masih buntu. Fikiran jauh melayang. Jauh terbang ditiup angin bayu. Ibarat sehelai daun kering yang ditiup angin, begitulah rasanya. Tanpa tujuan. Tanpa paksaan.

.

Ayat pertama yang saya tulis ...

Saya ingin memohon biasiswa untuk menyambung pelajaran ke universiti.....
.
.
Saya sambung lagi...

Saya merupakan anak sulung kepada 8 orang adik beradik. Ayah saya bekerja sebagai buruh.

.

Saya buntu.
Pena berhenti menari.
Fikiran saya jauh melayang hingga ke memori silam semasa saya darjah 6.

.

"Ayah kerja apa?" tanya guru besar.
"Buruh cikgu" jawab saya ringkas.
"Apa? Burung?" soal guru besar lagi.
.

Hahahaha. 
Kedengaran satu kelas ketawa. Guru besar juga ketawa. 
Betapa saya terasa sangat malu kerana dimalukan sebegitu.
Sungguh.Saya sedih dan pilu kerana ditertawakan oleh mereka semua.
.

Ketika itu guru besar datang ke kelas bertemu saya. Kerana sudah 3 bulan, yuran sekolah masih belum dibayar. Tapi wajarkah saya ditertawakan kerana pekerjaan ayah adalah buruh? Hina sangatkah? Sampai tiada sekelumit simpati dihati seorang guru besar kepada anak orang miskin? Hingga dia boleh memperlekehkan kami??

.
.
Sedih. 
Kecewa. 
Marah. 
Semua perasaan ada ketika itu.

.

Mengenangkan peristiwa itu sahaja sudah cukup membuatkan saya rasa rendah diri. Saya tak mampu nak tulis cerita berkenaan pekerjaan bapa saya. Saya sedih. Saya malu kerana ditertawakan orang.

.

Terus muka saya tekupkan ke meja. Air mata saya gugur lagi. Saya tak mampu kawal perasaan ketika itu. Lantas saya bangun dari kerusi dan mohon izin daripada cikgu untuk keluar dari kelas.

.

Dalam tandas saya menangis. 
.
.
"Najah, kau ok ke?" terdengar satu suara.
"Eh. Aku ok" balas saya.
"Kenapa kau menangis di sini?" tanya sahabat saya.
"Tak ada apalah. Jom kita masuk kelas semula" balas saya.

.

Mata merah, berair. Mana mungkin dapat saya menipu. Sahabat saya memang sangat tahu dan faham isi hati saya. Dalam kelas dia bertanya lagi.

"Kenapa kau menangis?" tanya dia.
"Aku teringat keluarga aku." balas saya.
"Kenapa?" tanya dia lagi
"Buat apa aku nak tulis karangan ini. Aku bukan dapat masuk universiti pun nanti." jawab saya

.
"Kenapa pula? Kau kan pandai. Antara kita semua kaulah pelajar paling pandai. Bukankah haritu kau dapat No.1 dalam peperiksaan. Haritu kan kau dapat No.1 keseluruhan tingkatan." sahabat saya cuba meyakinkan.

.


Tahun 1997 saya tamat sekolah menegah.

"Untuk apa aku belajar pandai-pandai. Keluarga aku miskin. Mereka tak mampu membiayai aku belajar sampai ke universiti. Nak beli buku pun aku bergaduh dengan mak. Kena marah. Kalau aku nak masuk universiti lagi banyak belanja nanti." balas saya

"Takpe Najah. Kita kan sahabat. Nanti aku tolong kau. Kau jangan risau." kata sahabat saya.

.
.

Saya meneruskan penulisan karangan surat biasiswa dengan babak airmata. Karangan yang mudah, tapi sangat sukar untuk saya tulis ketika itu. Sukar, kerana ia sarat dengan emosi dan airmata.

.

Surat untuk memohon ke universiti di UK




Wallahua'lam. 
Hanya Allah yang lebih mengetahui segala-galaNya.

.

Penerima biasiswa JPA

Jumaat, 15 April 2016

NOTA INSPIRASI #51 : BAJU SEKOLAH



"Comotnya baju kau ni." 
"Baju kau ni tak pernah digosok ke? Kedut betul."
"Kenapa baju kau tak putih, dah warna kelabu"
"Tahun ni kau tak dapat baju baru ke?"
" Mak kau tak beli baju sekolah yang baru?"
"Kau ni pemalas ye. Cuba tengok baju aku. Putih. Kemas. Bergosok cantik je"


Sakura berbunga putih di Liverpool


.
DIAM.
 TELAN SAHAJA.
.


Soalan cepu cemas yang selalu kawan-kawan tanyakan pada saya semasa sekolah rendah. Masih lagi saya ingat. Ketika itu saya darjah 4. 
.
Tiap kali tamat cuti sekolah saya akan rasa tak seronok. Memikirkan nanti kawan-kawan akan bercerita tentang baju baru, beg baru, kasut baru dan alat tulis baru.

Semua cerita yang indah-indah pada mata mereka. Untunglah mereka anak orang senang. Semua dapat serba baru bila buka sekolah.

.

Soalan tentang baju sekolah betul-betul menyentap hati saya. Memang dahulu, saya hanya punya sepasang baju. Untuk dipakai pagi dan petang. Naik kepam bau baju itu. Pulang dari sekolah kebangsaan, saya buka baju dan anginkan baju itu ampaian.

Sementara itu, saya ke dapur. Sediakan bekal untuk ke sekolah agama. Kadangkala mak dah siap masak. Kadangkala bila mak tak sempat masak, saya yang ambil alih tugas tersebut. Kesian pada adik-adik yang masih kecil. Mereka lapar. Saya mungkin boleh tahan lapar kerana saya lebih besar. Tapi apalah yang adik-adik saya faham tentang erti sabar, lapar dan dahaga.

.

Selepas menyuap adik, saya segera bersiap ke sekolah agama. Berbekalkan nasi putih dan lauk ikan bilis goreng serta kicap. Itu sudah cukup untuk mengalas perut. Sambil tu saya bawa barang jualan.

.

Baju sekolah yang dianginkan tadi saya sarung kembali. Bau hapak dah hilang. Zaman iti tidak mampu beli minyak wangi. Walaupun sudah busuk, pakai sahaja la baju sekolah tersebut. Masakan tidak kelabu, hanya baju itu sahaja yang disarungkan ke tubuh kecil saya. Setiap hari, pagi dan petang. Kalau rajin, pulang dari sekolah agama baju tersebut akan dibasuh dengan tangan.

.

Memang tak pernah gosok baju sepanjang saya di sekolah rendah. Memang selalu la kawan ejek. Kadangkala kena sindir sebagai pemalas. Nak gosok baju pakai apa? Seterika pun tiada. Kalau ada pun, mak memang marah kalau asyik menggosok baji, sebab bil elektrik mahal. Kami tak mampu bayar. Pernah beberapa kali kami bergelap kerana sumber elektrik dipotong gara-gara ayah tak mampu bayar tunggakan bil.

Masih tak gosok baju. Sekarang uniform bebas.



.

BAJU SEKOLAH...


Baju sekolah yang aku idamkan
Kalau boleh punya dua pasang
Agar berganti uniform seharian
Untuk dipakai pagi dan petang

Ku ingin bajuku sentiasa kemas
Segak gayaku penuh keyakinan
Aku tak mahu dituduh pemalas
Kerana bajuku penuh kedutan

Ku tahu ukur baju di badan sendiri
Impianku jauh untuk dicapai
Tapi aku tak pernah kesali
Aku masih punya Illahi

Hidup ini silih berganti
Siang malam berlalu pergi
Selepas hujan muncul pelangi
Cantiknya ia tidak terperi

Kasihnya Rabbi tiada bertepi
RahmatNya luas tiada sempadan
Kita sentiasa Dia berkati
Asalkan hidup diatas landasan






Maya Apparel bakal dieksport . Insya Allah.




Wallahua'lam. 
Hanya Allah yang lebih mengetahui segala-galaNya.


Founder
Muslim apparel in Liverpool

Ahad, 10 April 2016

NOTA CINTA #2 : HIKMAH DI SEBALIK UJIAN






Kita lihat situasi berikut:


Situasi 1

-----------

A ditipu oleh suaminya X. Tiba-tiba A terjumpa foto suaminya X dengan sahabat baiknya S. Gambar itu sangat intim. Selama mereka bersahabat A selalu menceritakan masaalahnya kepada S. A tak sangka S mengambil kesempatan di atas masalah yang berlaku antara A dan X.

.



Situasi 2

-------------

R seorang ibu anak 5. Dia seorang yang sangat aktif dengan NGO dan bisnes. Sehingga urusan penjagaan anak-anak diserahkan sebulat-bulatnya kepada pembantu rumah. Sehingga segala keperluan suami dan anak-anak dilunaskan oleh pembantu rumah. Satu hari, R pulang awal ke rumah kerana tertinggal dokumen penting. Dia masuk ke bilik dan melihat pembantu rumah sedang mengurut suaminya. Mereka bertengkar suami R mengungkit segala-galanya. Suami R mengatakan dia dan pembantu rumah mereka telah bernikah. Mereka suami isteri yang sah.

.


Situasi 3

------------

XXX seorang suri rumah tangga sepenuh masa. XXX pernah mempunyai kerjaya yang hebat sebelum ini. Tetapi kerana lebih sayangkan keluarga dan ingin memberi tumpuan penuh kepada anak-anak, XXX mengorbankan kerjayanya. Namun, selepas berhenti kerja dan menjadi suri rumah sepenuh masa baru dia sedar bahawa tugas seorang suri rumah sepenuh masa lebih berat. Dahulu, walaupun dia berkerjaya anak-anak lebih terurus. Dia mampu menguruskan rumah tangga dengan lebih teratur. Waktu bekerja anak-anak dihantar ke rumah pengasuh. Selepas jam 6, XXX mengambil anak-anaknya dari rumah pengasuh. Sampai di rumah ketika suaminya melayan anak-anak XXX akan menyediakan juadah untuk makan malam mereka. Suaminya rajin membantu dia. Namun, sekarang semuanya telah berubah. Selepas bergelar suri rumah sepenuh masa suaminya sudah tidak mahu membantu lagi. XXX merasa sangat tertekan.

.
.
.

Berdasarkan 3 situasi di atas, kita dapat lihat 3 ujian yang berbeza. Bagaimanakah cara untuk bersabar dan mencari penyelesaian bagi setiap masalah yang berbeza? Cukup dengan hanya bersabar???

.

Jika anda adalah rakan-rakan mereka. Apa tindakan anda? Apakah nasihat yang dapat anda berikan kepada mereka untuk terus bersabar dan mencari hikmah disebalik ujian yang mereka lalui?


.

Sebenarnya, bila orang lain diuji oleh Allah, kita juga turut diuji. Percaya tidak? 
1. Allah uji samada kita punya hati yang baik atau tidak
2. Allah uji samada kita melihat ujian orang sebagai peluang untuk kita sama-sama merenung diri sendiri.
3. Allah memberi peringatan kepada kita. Adakah kita mampu bersabar jika diuji sedemikian.
4. Allah uji samada kita mampu bersangka baik kepada orang.
5. Allah uji samada kita boleh bantu rakan kita atau tidak.
6. Jika kita ingin bantu, adakah kita cuba menjernihkan atau menghancurkan?
7. Allah uji untuk kita sama-sama percaya bahawa tiada satu pun di dunia ini yang benar-benar milik kita. 
8. Allah uji untuk kita muhasabah diri kita juga.
9. Allah uji untuk lihat samaada kita ini benar-benar hamba atau kita mahu ambil alih tugas tuhan.
10. Allah uji kesabaran kita. Bagaimana kita berdepan dengan masalah.

.
.
.
dan banyak lagi hikmahnya.






.


Saya selalu menjadi tempat rujuk kawan-kawan saya bila mereka ada masalah. Situasi di atas hanya 3 situasi daripada beribu situasi yang kawan-kawan sahaja hadapi. Bila mereka diuji saya selalu ingtakan diri bahawa sebenarnya Allah sedang menguji saya juga.



Anda bagaimana???

Tepuk dada tanya IMAN. 
Jangan tanya Aiman, sebab Aiman tak kisah. 






Salam sayang <3 div="">

Kaunselor tak bertauliah
Liverpool.

LIKE eh:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Categories

cinta (62) agama (58) islam (27) friends (24) jodoh (18) idea (13) doodles (9) career (8) mood (7) follower (5)