Rabu, 6 April 2016

Nota Bisnes #1 : Budak Kecil Penjual Aiskrim



Kanak-kanak suka makan aiskrim. Itu kisah biasa. Jarang-jarang kita jumpa kanak-kanak menjual aiskrim. Apatah lagi, digalas bersama ke sekolah bersama buku-buku dan alat tulis. Beg sekolah seorang budak sekolah yang biasa, dimuatkan dengan buku-buku dan alat tulis pun dah cukup berat. Untuk kanak-kanak bertubuh kecil, berdayakan dia memikul 'beban' tambahan?


Bersama Prof Steve Evans ketika mendaki gunung Mom Tor

Ingin saya ceritakan. Ini kisah benar. Pengalaman yang dilalui sendiri. Bukan rekaan. Dahulu, saya adalah kanak-kanak bertubuh kecil yang menggalas beg sekolah sambil membawa plastik berisi aiskrim. Bukan untuk jadi santapan sendiri. Tetapi untuk mencari rezeki, buat mengisi poket yang kosong.

Sewaktu saya darjah 2, saya sudah biasa ke sekolah tanpa wang saku. Di rumah, apa yang ada jadi alas perut. Kalau hari itu ada nasi, makan nasi jadi alas perut yang kosong. Kalau ada pisang rebus, itu pun dah bersyukur.


Untuk budak sekolah yang seusia dengan saya ketika itu, mungkin mereka tak pernah alami nasib seperti saya. Adik beradik saya ramai. Ayah bekerja siang dan malam. Ibu saya juga bekerja di kilang. Sepeninggalan mereka, kami dijaga oleh nenek yang berhati waja.

Saya sangat bertuah. Sejak kecil saya terbiasa berdiri atas kaki sendiri. Sudah biasa membantu nenek menarik daun nipah untuk dijadikan atap. Atap yang sudah siap dianyam kemas, dijual kepada taukeh cina. Hasilnya, ia adalah rezeki untuk kami syukuri.


Mungkin untuk orang yang senang ketika zaman 80an, kisah ini mungkin tak wujud. Bukan tiada, tetapi anda tak pernah dengar. Mungkin, anda bertuah dilahirkan dalam keluarga senang.


Budak penjual aiskrim selalu gembira. Bila jualan nya laris dan saku yang kosong berisi syiling. Terbayang, alangkah bahagia bila nanti dapat serahkan saku wang syiling itu kepada mak. Mak pasti senyum, kerana ada rezeki untuk dikongsi anak beranak. Separuh dijadikan modal pusingan. Separuh lagi diserahkan ke tangan anak-anaknya buat wang saku mereka.


Sejak kecil, anak-anak dilatih untuk berkongsi. Seekor ikan dicarik halus-halus dan digaul bersama nasi. Disuapkan ke dalam mulut seorang demi seorang. Betapa kasihnya seorang emak. Tangannya menyuap anak-anaknya, sedangkan perutnya sendiri belum terisi apa-apa.


Budak kecil penjual aiskrim, pernah diberi amaran oleh gurunya. Agar tak menjual aiskrim lagi di sekolah. Pihak kantin yang dapat tahu turut marah, mungkin terjejas pendapatan kerana jualan budak kecil itu. Mereka tak tahu, bukannya budak kecil untung beribu. Hanya sekadar mengisi saku yang kosong, buat alas perut-perut yang berkeroncong.

Dahulu, budak kecil penjual aiskrim hanya dapat rasa sejuknya aiskrim. Tapi kini, dapat pegang sendiri salju yang dingin membeku.

Alhamdulilah. Sampai di puncak



Alhamdulillah. 
Segala puji-pujian hanya untuk Allah.




Budak kecil penjual aiskrim kini dah tak jual aiskrim. Tapi sambung warisan neneknya menjual kueh tradisional. Tapi kali ini, kuehnya sampai ke Liverpool.



Ex- penjual aiskrim Malaysia 
Founder Kueh Liverpool

Kad bisnes Kueh Liverpool

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LIKE eh:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Categories

cinta (62) agama (58) islam (27) friends (24) jodoh (18) idea (13) doodles (9) career (8) mood (7) follower (5)